22 Februari 2017 - 18:54
Pasukan Siasat Kematian Penduduk Rohingya

Pihak berkuasa Myanmar akan menyiasat kematian lapan penduduk Rohingya yang berada dalam tahanan, iaitu antara beratus-ratus penduduk yang ditahan sewaktu tindakan keras di utara Rakhine, kata kerajaan hari ini.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pihak berkuasa Myanmar akan menyiasat kematian lapan penduduk Rohingya yang berada dalam tahanan, iaitu antara beratus-ratus penduduk yang ditahan sewaktu tindakan keras di utara Rakhine, kata kerajaan hari ini.

Beberapa penduduk yang ditemuramah penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Bangladesh menceritakan bahawa mereka ditahan dan dipukul serta diseksa semasa berada dalam tahanan.

Berikutan itu, Kerajaan Myanmar berjanji untuk menyiasat dakwaan demikian selepas berbulan-bulan menolak tuduhan sama, berdasarkan laporan yang dikumpul kumpulan hak asasi manusia dan wartawan.

Myanmar berkata, sekurang-kurangnya 585 orang ditahan sepanjang bulan ini, sejak tindakan kekerasan itu bermula, termasuk lapan yang meninggal dunia akibat penyakit ketika berada dalam tahanan.

Jurucakap Presiden Zaw Htay, berkata dua pasukan siasatan tiba di Maungdaw untuk menyiasat aduan berkaitan dengan kematian itu, tanpa memberi maklumat lanjut.

"Pihak polis sudah membentuk satu pasukan penyiasat yang diketuai seorang pegawai kanan polis. Pihak tentera turut membentuk satu pasukan penyiasat yang diketuai Inspektor Jeneral Tatmadaw.

"Memang ada aduan. Pasukan penyiasat sudah menerimanya dan siasatan akan dijalankan bagi menentukan sama ada aduan itu adalah benar atau palsu" katanya. - AFP.